| Nasi lemak bersaiz kecil |
Dalam perjalanan kami ke Melaka yang memakan masa selama 2 jam, Cikgu Hafeez telah bersama-sama menyemak jawapan bagi kertas soalan kuiz yang diberikan pada hari pertama. Murid-murid yang mendapatkan jawapan yang betul telah diberikan 'gula-gula getah' (chewing gum) sebagai imbalan.
Melaka
Sejarah kesultanan Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang, yang memerintah pada tahun 1400 hingga 1424. Nama Melaka diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka. Kesultanan ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihak Portugis pada tahun 1511.
| Pokok Melaka |
Perigi Hang Tuah terletak di Kampung Duyong, Melaka ini dikatakan mempunyai kaitan dengan Hang Tuah seorang pahlawan yang terkemuka di Nusantara ini di Zaman Kesultanan Melayu Melaka (1398 - 1511). Hang Tuah Yang dilahirkan di Kampung Duyung ini dipercayai menggali sendiri perigi ini untuk kegunaannya.
Pada asalnya perigi ini adalah kecil tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam. Perigi ini dikatakan tidak pernah kering, walaupun di musim kemarau panjang. Airnya sentiasa jernih dan dikatakan boleh menyembuhkan penyakit.
Bangunan Stadthuys (Rumah Merah)
'Bangunan Stadthuys' ataupun dewan perbandaran dalam bahasa Belanda ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni reka bentuk Belanda yang halus.
Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi, dan Muzium Yang Di-Pertua Negeri. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.
Abang Shukri, ketua pemandu pelancong kami telah dengan putih hatinya membelikan air cendol untuk murid-murid dan guru-guru.
Sebelum kami berangkat pulang ke Singapura, kami telah ke destinasi terakhir kami iaitu ke benteng A Famosa yang terletak tidak jauh dari kedai Cendol tersebut.
Dalam perjalanan kami ke sana, beca-beca yang lalu-lalang di jalan raya disitu amat menghiburkan hati kerana muzik yang dimainkan setiap pemandu beca itu sangat rancak dan menarik hati.
A Famosa
Benteng A Famosa yang bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja mereka berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.
Benteng A Famosa ini mengambil masa selama 5 bulan untuk dibina. Pembinaan benteng A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque ini boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.
Benteng A Famosa ini mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah. Sir Thomas Stamford Raffles, seorang warganegara British telah mengekalkan benteng itu sebagai monumen yang bersejarah buat generasi yang akan datang.
Setelah itu, kami pun menaiki bas yang kemudiannya melalui jalan Parameswara untuk ke Johor. Di Johor, bas kami telah membuat perhentian terakhir supaya kami boleh bersolat Asar ataupun ke tandas sebelum kami berangkat ke Singapura.
Pada hari itu, murid-murid dan guru-guru tiba di Sekolah Rendah Kheng Cheng tepat pada pukul 7.50 malam, lebih kurang sejam lewat dari masa yang ditetapkan oleh kerana kesibukan jalan raya di kawasan Checkpoint Tuas.


